PENJAJARAN SUMBER MANUSIA PENTING DALAM TRANSFORMASI

USM, PULAU PINANG, 21 Julai 2016 – Penjajaran aspek sumber manusia dalam mengoptimumkan bakat di Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara inisiatif yang diperkasakan untuk menjayakan proses transformasi yang menjadi nadi kepada pembangunan Universiti.

20160721 01

Pengarah Sumber Manusia, Dr. Musa Ali berkata, bakat adalah satu daripada tiga faktor terpenting dalam sesebuah organisasi yang boleh dikawal dan dioptimumkan sebaik mungkin, berbeza dengan sumber dan tadbir urus yang disifatkan lebih kompleks.

Katanya, dalam konteks USM banyak isu dalam sumber manusia yang sering diperdebatkan, termasuk ratio perjawatan, emolumen yang semakin meningkat, keperluan pengukuhan kompetensi, pelan penggantian dan sebagainya.

“Universiti juga berdepan dengan isu biro patologi iaitu satu permasalahan birokrasi yang bersifat ‘penyakit’ yang berlaku dalam kalangan warganya yang melibatkan kualiti mutu kerja yang rendah, bekerja di bawah tahap kompetensi sebenar dan sebagainya.

2

“Isu ini timbul apabila kita tidak melakukan penjajaran (allignment) profil kerja dengan sebaiknya dan bila ia berlaku, kita berdepan dengan masalah kos yang semakin meningkat serta masalah lain yang menyumbang kepada kegagalan usaha transformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi syarahannya bertajuk Pengoptimuman Sumber Melalui Penjajaran Sumber Manusia yang dihadiri lebih 100 orang pegawai pentadbiran dan pensyarah.

Yang hadir sama ialah Pendaftar USM, Profesor Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin, Pengarah Pusat Transformasi Insan, Profesor Madya Dato’ Hj Ellias Zakaria dan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Profesor Dr. Fauziah Md. Taib.

Musa yang juga Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) berpengalaman luas dalam pengurusan sumber manusia dan terlibat dalam pelbagai kerangka pembangunan sumber manusia di organisasi dalam negara mahu pun pada peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, dalam konteks USM beberapa pendekatan khusus telah disenaraikan bagi menangani isu-isu yang melibatkan sumber manusia, antaranya dengan mengaplikasikan kaedah seperti mengkaji keperluan sebenar perjawatan dengan melihat hala tuju Universiti.

“Kita akan mengambil langkah menjalankan lebih banyak usaha memprofilkan bidang kerja serta pemantauan dan penguatkuasaan peraturan tertentu bagi menyelesaikan isu penjajaran antara jawatan serta biro patologi.

“USM juga akan sentiasa menambahbaik inisiatif yang telah dijalankan termasuk kajian semula terhadap program Pembangunan Profesional Berterusan (MyCPD) untuk memastikan keperluan pengukuhan kompetensi dan latihan seiring dengan perkembangan semasa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aziz pula dalam ucapannya berkata, perkongsian dan diskusi pentadbiran adalah antara inisiatif yang akan terus dilaksanakan untuk memberi pemahaman kepada warga kampus, selain menjadi halatuju transformasi yang akan dilakukan oleh pihak Universiti.

3

“Kita amat berharap untuk mendapat kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat untuk sama-sama menjayakan hasrat Universiti untuk mentransformasikan bidang sumber manusia kita sebagai yang terulung.

“Proses transformasi ini sedang dan akan terus berjalan. Universiti sentiasa mengambil berat pandangan warga kampus dan sentiasa menerima maklumbalas serta memperbaiki usaha yang dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim